Tuesday 24 November 2009

Pemasar Kopi 'Radix' Pemenang Anugerah Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Syarikat pemasar kopi 'Radix', HPA Industries Sdn Bhd hari ini dianugerahkan Anugerah Perdana Menteri Sektor Pertanian dan Industri Asas Tani sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2008.

HPA Industries, yang beroperasi di Arau, Perlis menjalankan pemasaran produk makanan kesihatan, kosmetik dan barangan keperluan harian, selain mengusahakan tanaman pegaga, roselle dan mangga.

Dengan nilai jualan RM63 juta pada tahun lepas, HPA Industries berjaya menarik 400,000 keanggotaan dan 21,000 usahawan melalui pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan mempunyai 63 rangkaian pemasaran di seluruh negara dan lima di luar negara.

Selain dianugerahkan pemenang kategori yang baru diperkenalkan tahun ini itu, HPA Industries turut memenangi kategori Anugerah Pemasar Tani Jaya Kebangsaan 2008 yang menjadikan hadiah keseluruhan bernilai RM80,000, selain sijil dan trofi, yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas pelancaran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), di Serdang, dekat sini hari ini.

Pengarah Urusan HPA Industries Ismail Ahmad berkata pengiktirafan tinggi daripada kerajaan itu akan dijadikan sumber motivasi dalam mengembangkan perniagaannya, terutama bagi meluaskan pasaran eksport.

"Buat masa ini, kami masih terpaksa import roselle dari Sudan dan pegaga dari Indonesia, jadi kami akan cuba untuk mempunyai ladang roselle dan pegaga yang lebih luas untuk kurangkan kebergantungan ini," katanya kepada Bernama selepas menerima anugerah itu.

Mensasarkan keuntungan bernilai RM100,000 tahun ini, Ismail berkata kejayaan perniagaannya itu menunjukkan bahawa bidang pertanian dan industri asas tani sememangnya membawa keuntungan yang besar jika ia diusahakan dengan betul.

Bagi pemenang Peladang Muda Jaya Kebangsaan 2008 Zulkarnain Painan, 37, yang mula menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak 11 tahun lalu, minat terhadap bidang pertanian menyebabkannya berusaha keras walaupun menerima cemuhan daripada orang sekeliling yang merasakan bidang itu tidak punya masa depan.

Namun kini, katanya dengan isipadu perniagaan bernilai melebihi RM2.8 juta setahun, termasuk lebih 18 hektar ladang tanaman kontan dan 11 hektar tanaman sawit serta ternakan kambing boer dan lembu, orang ramai mula membuka mata terhadap bidang itu.

"Saya cuma belajar daripada pengalaman dan selalu bertanya, selain kursus-kursus pengurusan oleh Jabatan Pertanian untuk mengembangkan bidang ini," katanya yang membawa pulang wang RM30,000, sijil dan trofi.

Pemenang-pemenang lain yang turut membawa pulang wang berjumlah RM30,000 selain sijil dan trofi adalah Mohammad Hassan Mohammad Rawther dan Lenah Simen, masing-masing bagi kategori Peladang Lelaki dan Wanita, Din Ahmad bagi kategori Nelayan, Saidi Mamat @ Ghani bagi kategori Nelayan Muda, Kiew Yoke Loy dan Chia Kee Heng, masing-masing bagi kategori Usahawan Ikan Jaya Kategori Air Tawar dan Air Payau, Zainuddin Zakaria sebagai Usahawan Penternak Jaya Ruminan dan Ishah @ Isa Awab sebagai Usahawan Penternak Jaya Bukan Ruminan.

Pertubuhan Peladang Kawasan Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang pula menjuarai kategori Pertubuhan Peladang, Unit Peladang Jaya Desa Sri Taman, Tuaran, Sabah bagi kategori Unit Peladang, Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Kedah, Kedah bagi kategori Persatuan Nelayan, PB Sayuran Kg Melayu Raya, Tangkak, Muar untuk kategori Kumpulan Tani Komersil, Kumpulan Pengembangan Wanita Kampung Medan Jaya, Marang, Terengganu untuk kategori Kumpulan Wanita dan Kebun Rimau Sdn Bhd bagi kategori Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment